Hapuskan Dasar Setinggan Sifar
“Satu:
Ketika menghantar sahabat-sahabat ke tempat menanti bas ekspres ke Pantai Timur di Greenwood pukul 9.00 malam tadi, saya bertemu dengan seorang pekerja syarikat yang mempunyai kaitan dengan projek memajukan projek membina kondominium mewah di Kampung Berembang.
Seperti diketahui umum, projek itu memangsakan golongan tertindas (mustadh’afin) Kampung Berembang.
Ketika sampai di warung berdekatan stesen minyak Greenwood, beliau menegur Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub. Dari situlah saya berkenalan dengannya.
“YB (Kubang Kerian) naik bas?,” tanya beliau yang juga menghantar saudaranya balik ke Kelantan. “Perkara biasa,” kata saya. “Dia (Salahuddin), Mahfuz memang naik bas. Kalau nak cepat sangat baru depa naik kapal terbang,” kata saya kepadanya.
Kami kemudia berbual mengenai pilihan raya umum baru-baru ini. Perbualan kemudian melarat kepada isu Kampung Berembang. Beliau yang membangkitkan isu itu kerana geram. “Saya kerja dengan syarikat yang ada kaitan dengan developer di Kampung Berembang tu,” katanya kepada saya. “Memang zalim”.
Belum sempat saya nak “menggali” lebih banyak maklumat darinya, beliau terpaksa meminta diri kerana kawannya sudah sampai. Tak sempat nak tanya apa-apa dia terpaksa pergi.




Bila balik (dari siang tadi hingga hampir pukul 11.00 malam lebih banyak di luar), saya membaca posting kawan saya, Amin, mengenai bantahan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) terhadap rancangan kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar baru, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu meneruskan Dasar Setinggan Sifar Barisan Nasional (BN) – hanya satu dua hari selepas kerajaan Selangor menyatakan mahu mengutip yuran bulanan sebanyak RM10 daripada majikan pekerja asing.
Menurut JERIT, dasar yang dipaksakan oleh kerajaan BN itu adalah adalah dasar yang kejam yang diperkenalkan pada tahun 2005 ketika Datuk Seri Mohd Khir Toyo menjadi Menteri Besar Selangor.
Menurut pengamatan badan pembela mustadh’afin itu, dasar tersebut tidak berniat untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat berpendapatan rendah Selangor. Ia lebih merupakan satu kempen untuk membantu pemaju kaya yang mahu merampas tanah yang sudahpun dimajukan dan diusahakan oleh peneroka bandar sejak beberapa dekad lalu.
Saya tahu dan melihat sendiri perjuangan JERIT. Saya juga kenal Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang banyak terlibat dengan program-program JERIT. Panjang kalau nak disenaraikan pengorbanan Aru.
Tetapi, saya menyokong tuntutan JERIT bukan kerana saya tahu apa yang dibuat badan pembela mustadh’afin itu atau kerana saya kenal Aru atau kerana saya pernah menjadi penduduk kawasan setinggan di Kampung Medan, Jalan Kelang Lama dan di Kampung Pasir, Hulu Kelang. Saya sokong habis-habisan tuntutan JERIT itu kerana saya amat membenci dasar yang menjadikan golongan mustadh’afin sebagai bahan sepak terajang.
Saya merayu kepada semua yang membaca posting ini supaya menyatakan sokongan anda di sidebar sebelah kanan laman utama JERIT. Di bawah tajuk “Undi Anda!!!” (sila klik), ada soalan yang bertanya anda, patutkah kerajaan negeri Selangor teruskan Dasar Setinggan Sifar?
Tolonglah jawab tidak!
Dua:
Mengapa Malaysiakini melaporkan, “Khalid said that he would “most likely” compel his exco members to declare their assets publicly”?
Mengapa terdapat “reservations by some exco members who do not want their shareholding information to be made public due to “family reasons”? Alasan keluarga yang macam mana tu?
Mengapa laman berita itu juga melaporkan, “two figures which Mohd Khir paid particular interest to, in regards to debts, was Khalid and newly appointed exco member Dr Hassan Ali”.
Oleh kerana PKR merupakan pihak paling berkuasa di Selangor, saya tidak boleh mencadangkan diwujudkan institusi hisbah di negeri itu seperti yang dijalankan oleh kerajaan PAS di Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 dahulu – walaupun tidak diketahui sejauh mana ia dapat memainkan peranannya.
Ketika berbual dengan Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar, beliau memberitahu hasratnya untuk memperjuangkan kewujudan badan hisbah (Orang Putih kata ombudsman) di dua negeri di mana PAS mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak.
Seingat saya, Kelantan belum ada badan hisbah. Saya tak ingat Exco-Exco dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Kelantan mengisytiharkan harta mereka. Mungkin ada, tetapi saya tak ingat langsung. Saya tak fikir orang-orang seperti Tok Guru mempunyai masalah untuk mengisytiharkan hartanya. Kalau orang nak sangat, hatta setiap hari pun dia boleh isytiharkan.
Saya berharap tidak ada lagi orang PAS atau orang Kelantan yang mengeluarkan cakap-cakap seperti “apa nak heran. Dia lawyer. Dia memang kaya”.
Saya pernah bertanya kepada orang PAS yang menjadi peguam terkenal. “Aku tak fikir dia mampu sampai macam tu. Aku lawyer, aku tau la”.
Lainlah kalau dia mempunyai pejabat guaman seperti yang dimiliki rakan saya ketika di dalam Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dahulu. Dua tiga tahun dahulu, dia pernah memberitahu, gaji untuk kakitangannya sahaja lebih RM200,000 setiap bulan. Itu dua tiga tahun dahulu. Sekarang saya tak tahu. Saya malu nak tanya, hanya tunggu dia beritahu sahaja.
Kutu miskin macam saya tak berani nak tanya hal-hal yang berkaitan dengan duit, nanti orang syak saya nak pinjam pula.
Saya berharap, kita yang menyokong kerajaan-kerajaan rakyat di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan sama-sama mengambil bahagian untuk menegur apa yang patut. Saya juga berharap tidak ada lagi cakap-cakap klise seperti “kalau nak tegur, ikutlah saluran. Bukan caranya tegur secara terbuka”.
Jangan bagi peluang kepada holy toledo seperti Khir Toyo berlagak bersih dan cakap banyak. Kita, penyokong kerajaan-kerajaan rakyat, mesti tegur secara terbuka!”
oleh Bakaq
p/s : Mengapa harus diteruskan? Penjelasan Tan Sri sangat perlu. Mungkin hanya nama dasar tidak berubah tetapi dasar yang dibuat berubah? Pakcik tak pandai menyelam…
Filed under: Politik | Leave a Comment
Tags: selangor, setinggan sifar, tan sri khalid













No Responses Yet to “Hapuskan Dasar Setinggan Sifar”